Pengacara majlis-sumber aspirasi aku aku untuk menjadi seorang pengerusi majlis(emcee) yang berjaya

Wednesday, February 4, 2009

baca la page ni. Page ni aku ambil dari kosmo online(www.kosmo online.com.my) 4 Februari 2009. ini panduan buat mereka yang minat nak jadi emcee la..

Asam garam pengacara

Apakah pandangan, harapan dan perancangan Mahathir Lokman setelah suku abad menceburi bidang pengacaraan?




TIGA insan kesayangannya menghembuskan nafas terakhir ketika dia sedang sibuk mengacarakan majlis.

"Bapa meninggal dunia semasa saya bertugas sebagai pengacara untuk Sukan Komanwel 1998. Kakak pula pergi untuk selamanya sewaktu saya sedang mengacarakan Musabaqah al-Quran di Terengganu. Saya juga tidak sempat menziarahi adik ipar buat kali terakhir kerana mengacarakan majlis Piala Seri Endon.

"Saya cuma bersedih selama satu hari sahaja, esoknya saya perlu bekerja seperti biasa. Itulah perkara yang saya kesalkan. Saya sebenarnya sangat berharap boleh menghabiskan lebih banyak masa dengan arwah bapa yang meninggal dunia akibat kanser prostat."

Ya, itulah harga yang terpaksa dibayar oleh pengacara majlis terkenal negara, Datuk Mahadzir Lokman yang cukup komited terhadap tugas pengacaraannya.

Malah, dia pernah mengacarakan majlis dengan tangan berbalut dan kian membengkak kerana patah, sebelum dimasukkan ke hospital dan diberi cuti sakit selama 14 hari.

"Pengacaraan bukanlah satu kerjaya yang sekadar di pinggiran atau sepintas lalu sahaja. Pengacara sekarang mesti pandai dan berkaliber. Ada beza susun kata dan bahasa antara pengacara fun fair, sukan sekolah, rumah terbuka dan majlis melibatkan Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri.

"Jadi, anda tidak boleh letakkan gred ke atas mereka. Ia satu penilaian yang subjektif kerana orang yang menilai kita. Saya tidak mahu cakap saya bagus. Tetapi, boleh kata tugas pengacaraan saya tidak pernah berhenti, walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang baik," kata Mahadzir merendah diri.

Memang benar, bukan mudah untuk bertemu pengacara yang satu ini. Jadualnya padat sepanjang minggu. Malah undangan untuk mendapatkan khidmatnya tidak pernah dibataskan oleh sempadan bahasa dan geografi.


"MAHU meneruskan kerja-kerja pengacaraan sehingga berusia 60 tahun."


Mencecah usia 52 tahun pada 9 April ini, Mahadzir nyata berada dalam kelasnya yang tersendiri. Selama 25 tahun berkecimpung dalam dunia pengacaraan membuatkan lelaki ini telah merasai segala asam garam profesion tersebut. Tidak salah rasanya jika dia dinilai sebagai pengacara berprofil tinggi.

Buktinya, penganjur tetap mahukan suaranya sama ada untuk majlis perkahwinan atau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertaraf nasional dan antarabangsa.

Menurut Mahadzir, pengacaraan mesti melibatkan bakat dan didikan. Individu yang ingin menjadi pengacara perlu memiliki kebolehan bercakap di hadapan orang ramai dan boleh bertutur dengan lancar tidak kira berapa ramai audiensnya.

"Kedua, kena bijak. Perlu selidik siapakah tetamunya untuk memastikan bahasa apa yang hendak digunakan. Sama ada bahasa istana, atau bahasa formal yang melibatkan kehadiran Perdana Menteri dan sebagainya. Kena faham ambien, malah suara dan intonasi juga mesti jelas.

"Jika mengacarakan majlis MoU bioteknologi di hadapan menteri berkaitan, anda mestilah tahu serba sedikit tentang bioteknologi, bukan sekadar tangkap muat sahaja.

"Malangnya, kebanyakan pengacara hari ini hanya sekadar teruja menjadi pengacara dan masuk TV. Pada kad pun, tulis hos TV. Sedangkan saya mengambil masa bertahun untuk meletakkan diri sebagai pengacara. Baguskah aku ini? Banyak lagi yang perlu saya belajar," tegasnya.

Pengacara juga perlu mempunyai suara yang sedap didengar. Ia merupakan kriteria yang penting selain kebolehan dan personaliti.

Sewaktu mengendalikan kursus, Mahadzir berasa kasihan apabila melihat ada segelintir peserta kursus yang suaranya sengau. Dia bimbang apa yang diperkatakan oleh pengacara itu tidak difahami audiens.

"Anda juga tidak boleh datang untuk mengacarakan majlis dengan mood tidak baik dan monyok. Tidak juga boleh terlebih ceria. Sekiranya perlu menjadi pengacara majlis yang dihadiri oleh golongan VVIP, lenggok bahasa mesti betul.

"Alhamdulillah, saya versatil. Saya boleh acarakan majlis formal dan tidak formal. Pokoknya, duit. Bukan soal suka buat mana-mana majlis tertentu sahaja," jelas Mahadzir sambil memberitahu, dia juga banyak mengendalikan majlis atas dasar kebajikan.


"KEUPAYAAN Mahathir bertutur dengan fasih dalam enam bahasa menjadikannya seorang pengacara yang sukar ditandingi."





Secara jujurnya, Mahadzir mengakui bahawa dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang pengacara. Sewaktu kecil, Mahadzir bercita-cita untuk menjadi doktor. Tetapi akhirnya, dia mengikuti jurusan pengurusan perniagaan di Universiti Ohio di Amerika Syarikat (AS) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana.

Impian Mahadzir seterusnya adalah ingin masuk ke dunia korporat atau memegang jawatan sebagai seorang diplomat.

Namun, nasihat arwah bapanya, Datuk Lokman Musa yang berkata, menjadi diplomat memakan masa yang lama, membuatkan Mahadzir mengambil keputusan untuk bertugas sebagai pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1983 (ketika itu dipanggil ITM).

Pada bulan Januari tahun berikutnya, Mahadzir mencuba nasib di stesen swasta pertama negara, TV3, sebagai wartawan penyiaran, sebelum diserapkan sebagai pembaca berita. Di sana, dia diberi penghormatan membaca berita bahasa Inggeris yang pertama di TV3 dan kemudian berita bahasa Melayu.

"Saya mohon suka-suka sahaja. Sebabnya semasa bersekolah tadika, kalau ada orang datang ke rumah, saya akan jadi 'pengacara' iaitu memperkenalkan kakak dan adik-beradik sebelum mereka bermain biola, piano atau trombon.

"Sejak kecil, bapa mengajar saya untuk tampil ke depan dan yakin dengan diri sendiri. Tak sangka pula kena jadi pengacara sampai tua," katanya sambil ketawa.

Secara peribadinya, Mahadzir lebih suka mengacarakan majlis secara langsung berbanding di TV. Sebabnya, dia dapat menghayati dan berhubung dengan orang ramai.

"Kalau dalam TV, saya cakap dengan kamera. Jadi, saya kena membayangkan diri bercakap dengan orang dan tidak boleh kaku," katanya yang mengagumi beberapa pengacara lama seperti Johari Hassan dan Jamsari Mohammad yang pernah mengacarakan majlis Musabaqah al-Quran.

Satu perkara yang Mahadzir kurang gemar dalam aspek pengacaraan ialah dia terpaksa melalui sesi latihan yang lama. Lebih memburukkan keadaan, jika ada pihak yang tidak menepati masa. Biarpun begitu, ganjaran yang diterima cukup lumayan, selain dikenali ramai.

Mahadzir tidak berfikir lama ketika ditanya apakah saat paling memalukan sebagai seorang pengacara. Jelasnya, ia berlaku semasa dia mengacarakan majlis pembukaan Kajang Hill Golf Club yang dirasmikan oleh Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.

"Keadaan agak kelam kabut. Semuanya menyombong apabila saya tanya dengan baik. Saya tanya, plak sudah pasang dan diletak belakang tirai, mereka kata sudah.

"Kemudian, tibalah upacara membuka papan tanda. Jadi, Almarhum Tuanku pun tariklah tirai dengan iringan lagu. Malangnya, apa yang ada cuma dua paku, plaknya tidak ada.

"Pastinya tetamu yang datang menganggap itu salah Mahadzir Lokman. Terpaksalah saya mohon ampun dan minta Tuanku mencemar duli melawat persekitaran kelab golf.

"Satu ayat sahaja Tuanku Ampuan Najihah cakap pada saya. Mahadzir, lain kali pastikan ada plak ya, jangan malukan Tuanku. Aku pulak yang kena, padahal itu kerja orang lain. Namun saya terima sahaja padahnya," ujarnya ketawa.


"MENYIMPAN segala gambar dan lukisan kartun yang memberikan pelbagai memori indah di satu sudut dinding di rumahnya."


Mahadzir juga mengakui bahawa dia sudah alami hampir semua bentuk peristiwa. Dia pernah ditegur oleh seorang mufti kerana ada pengantin berjalan apabila imam sedang membaca selawat. Jelasnya, selawat bukan lagu iringan pengantin berjalan. Apabila mendengar selawat, tetamu kena berdiri dan mendengarnya.

Menyebut tentang ritual yang dilakukannya sebelum memulakan acara, Mahadzir memberitahu, ritualnya tidaklah sebanyak dahulu. Pada awal penglibatannya, dia sanggup tidak makan sehari suntuk kerana takut terlalu kenyang, sendawa atau terkentut.

Tetapi, habis sahaja majlis, dia akan makan sepuasnya dan balik ke rumah untuk tidur. Sebab itulah berat badannya naik mendadak. Ritualnya sekarang, Mahadzir kena tahu siapakah tetamu majlis, ambil nafas dalam-dalam, tenangkan fikiran dan tidak banyak bercakap.

"Do's and don'ts? Pengacara mesti tahu audiens supaya dia boleh gunakan bahasa yang sesuai. Sediakan skrip supaya tidak gelabah dan mungkin perlu tulis dalam bentuk isi penting. Seterusnya, mesti ada program yang lengkap. Kalau tidak ada, minta daripada penganjur bagi memastikan penyampaian yang lancar.

"Don't pula, jangan anggap semua orang ialah kawan anda. Jangan gagap kerana orang akan mula gelisah. Kalau tahu sesuatu mungkin berlaku, tuliskan pemberitahuan ringkas seperti: Terdapat gangguan teknikal, harap maaf dan terima kasih atas kesabaran anda. Siapkan awal-awal.

"Hanya satu yang boleh anda buat kalau tersasul, minta maaf. Misalnya, Tan Sri dipanggil Datuk. Lagi banyak kata aa… aa... lebih nampak salah," katanya yang mengaku selalu bertekak dengan penganjur kalau tidak diberikan program, kerana dia mahu menghasilkan skrip yang sempurna.


"MAHATHIR memegang foto klasik dia dan ibunya."


Mahadzir berkata, kesalahan yang biasa dilakukan oleh pengacara dan pembaca berita ialah mereka tidak pastikan sebutan sesuatu perkataan atau nama dengan betul. Selain itu, masih ada yang terikut-ikut dengan intonasi sewaktu menjadi pengacara di sekolah.

"Ibu bapa pula jangan hadkan anak-anak untuk jadi doktor, jurutera, peguam atau akauntan sahaja. Kalau anak pandai berbahasa, jadikan dia pengacara," katanya yang berharap dapat melatih lebih ramai pengacara berkaliber, iaitu orang muda yang betul-betul hendak belajar dan bukannya sekadar mengejar populariti semata-mata.

0 sumbang saran: